-->

Headlines

The Ecosoc News Monitor

19 June 2007

Mahkamah Majistret: Lima `terjerat' di kilang

Harian Metro
19 Juni 2007

Soalnya bagaimana mereka dapat KTP Palsu? Gaimana dengan sindikat yang mengurus KTP PAlsu?

SHAH ALAM: Cubaan lima wanita warganegara Indonesia berketurunan Bugis
menggunakan kad pengenalan palsu bertujuan mengaburi mata kakitangan
sebuah kilang dalam satu sesi temuduga kerja, gagal apabila mereka
dituduh di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Semua tertuduh berusia 19 hingga 35 tahun dan beralamat di Klang,
didakwa melakukan kesalahan itu di Kilang Flextronics, Bukit Jelutong
dekat sini, kira-kira jam 8 pagi, 2 April lalu.

Norlailah Jufri, 19, Darma Basri, 22, Sena Narru, 22, Noraidah
Mustapha, 22, dan Nor Sakilah Abu Bakar, 35, masing-masing mengaku
bersalah selepas mendengar pertuduhan itu dibacakan terhadap mereka
pada prosiding berasingan.

Mereka dituduh memiliki kad pengenalan orang lain tanpa sebarang kuasa
sah dan didakwa mengikut Seksyen 25 (1)(e) Peraturan Pendaftaran
Negara 1990, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 25
(1) peraturan sama iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda tidak
lebih RM3,000 atau kedua-duanya.

Norlailah didakwa memiliki kad pengenalan Sitti Aminah Rahim; Darma
(Kiky Fazilah Mohammad Redwan); Sena Narru (Darmiah Awang Kuli),
Noraidah (Sumarni Mansur) dan Nor Sakilah (Radiah Pammu).

Berdasarkan fakta kes, pada 2 April 2007, kira-kira jam 8 pagi,
pengadu iaitu Mohd Sanusi Daud, 30, membuat temuduga pengambilan
pekerja bagi kilang itu sebelum lima perempuan Melayu (tertuduh)
datang untuk ditemuduga.

Semua tertuduh mengemukakan kad pengenalan masing-masing dan hasil
pemeriksaan, pengadu mendapati wujud perbezaan gambar kad pengenalan
dengan wajah tertuduh.

Pengadu mengesyaki tertuduh menggunakan kad pengenalan orang lain bagi
tujuan memohon kerja di syarikat itu lalu menghubungi polis untuk
tindakan lanjut.

Siasatan polis mendapati semua tertuduh mengemukakan kad pengenalan
atas nama orang lain yang berasal dari Sarawak.

Dalam keterangan mereka, semua tertuduh mengaku warganegara Malaysia
namun tiada apa-apa dokumen pengesahan. Hasil semakan dengan Jabatan
Pendaftaran Negara pula menunjukkan tiada sebarang rekod dengan
Jabatan Imigresen.

Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Siti Nurazian Sharudin memohon
mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan tertuduh.

Bagaimanapun, peguam daripada Biro Bantuan Guaman yang mewakili semua
tertuduh merayu hukuman ringan dan berkuat kuasa tarikh mereka ditangkap.

Peguam yang menggunakan hujah sama bagi semua anak guamnya berkata,
mahkamah wajar mengambil kira fakta pengakuan bersalah tertuduh yang
menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Katanya, semua tertuduh juga tiada rekod kesalahan lampau, sudah
berkahwin dan menjadi penanggung tunggal keluarga mereka di Indonesia.

"Hukuman penjara yang lama akan membebankan tertuduh untuk mencari
kerja selepas dibebaskan kelak," katanya.

Majistret Suriyanilakma Abd Kadir dalam penghakimannya mengenakan
hukuman penjara empat bulan terhadap semua tertuduh atas kesalahan
memiliki kad pengenalan palsu.

Sementara itu, beliau mengenakan hukuman penjara tambahan lima bulan
terhadap Noraidah yang mengaku bersalah memasuki negara itu tanpa
dokumen sah.

Bagi kesalahan itu, Noraidah didakwa mengikut Seksyen 6(3) Akta
Imigresen 1959/1963, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih
RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta
boleh dikenakan enam kali sebatan.

Oleh Meor Riduwan Ahmad