26 Juli 2007
HONG KONG: Seorang pembantu rumah Indonesia dipenjarakan selama enam hari di Hong Kong kerana menghidangkan secawan minuman mengandungi air kencing, lapor akhbar semalam.
Wanita berusia 29 tahun itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan menggunakan bahan beracun, membinasakan atau bahan berbahaya lain dengan niat mencederakan tetapi menegaskan dia menggunakan air kencing sebagai rawatan masalah kulit dan berkata ia tersilap memasukkan ke dalam cawan untuk majikannya.
Majikan wanita itu, Szeto Ching-han menghidu bau kencing apabila meminta secawan air tetapi kemudian meminta pembantu rumahnya meminumnya dan dipatuhi pembantu rumah terbabit.
Szeto bagaimanapun mengambil cecair terbabit untuk diuji di makmal,lapor The South China Morning Post.
Pihak pembela berbalah bahawa majikan pembantu rumah terbabit tidak meminum air kencing terbabit dan ia tidak beracun.
"Satu-satunya perkara yang mengaitkan majikan itu dengan apa yang disebut sebagai bahan beracun hanyalah bau," kata peguam wanita terbabit yang dipetik memberitahu mahkamah.
Majistret berkata, tiada bukti pembantu rumah terbabit mengalami sebarang kecederaan selepas meminum air cawan itu. – Reuters