KUALA LUMPUR - Orang awam yang menyertai Ikatan Relawan Rakyat
Malaysia (Rela) diminta supaya menjaga tingkah laku dan mematuhi etika
penugasan supaya masyarakat tidak menyalah anggap tugas mereka.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Tan Chai Ho berkata, setiap
anggota Rela perlu menjadi contoh yang baik kepada masyarakat dan
menjaga nama serta imej Rela.
``Selain daripada menjaga keamanan dan kesejahteraan penduduk, anggota
Rela juga perlu berdisiplin serta menjalankan tanggungjawab dengan
penuh komitmen.
``Apabila seseorang anggota Rela berpakaian seragam, masyarakat akan
memandang mereka sebagai individu yang membawa contoh yang baik kepada
masyarakat.
``Jadi saya amat berharap anggota Rela akan berkelakuan baik dan
jangan biarkan masyarakat hilang kepercayaan kepada tugas anggota
Rela,'' katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penubuhan Platun
Rela Pangsapuri Permai, Sungai Besi baru-baru ini.
Tambahnya, bagi memudahkan anggota Rela menjalankan tugas dengan lebih
komprehensif, satu rang undang-undang Akta Rela akan digubal tahun ini.
``Rang undang-undang ini akan membolehkan anggota Rela melaksanakan
tugas dengan lebih baik
``Selain itu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHDN) juga berhasrat
untuk menjadikan Rela sebagai sebuah Jabatan bagi membolehkan Rela
membuat perancangan yang lebih jitu,'' katanya.
Sementara itu, Ketua Platun Rela Pangsapuri Permai, Sazali Bakar, 44,
memberitahu, penubuhan Rela di kawasan berkenaan dapat mengurangkan
aktiviti jenayah di kawasan itu.
``Dengan adanya Rela, kami harap masalah jenayah dapat dikurangkan di
kawasan penempatan seperti ini," katanya.