KOTA KINABALU 10 Ogos – Lebih 1,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia telah ditahan dalam Ops Bersepadu sejak operasi itu bermula tiga hari lalu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Razak Abdul Ghani berkata, PATI tersebut kini ditempatkan di pusat tahanan sementara (PTS) di Menggatal dan Kota Belud.
“Mereka akan dihantar pulang sejurus selepas proses dokumentasi selesai. Kebanyakannya didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Isnin lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, memberitahu, operasi menahan PATI akan dilakukan pada bila-bila masa dan tumpuan akan diberi di kawasan pantai barat Sabah terlebih dahulu.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik mengetuai Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai PATI bagi mengusir keluar secara besar-besaran PATI di Sabah.
Jawatankuasa tersebut diwujudkan selepas masalah PATI dibangkitkan oleh pelbagai pihak kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama tanpa sebarang tindakan berkesan.
Abdul Razak berkata, operasi itu akan diteruskan terutama di kawasan bandar raya ini dan juga di sekitar daerah Penampang.
