26 Mei 2007
SEREMBAN, 26 Mei (Hrkh) - KeADILan prihatin terhadap permasalahan hari ini yang kian membimbangkan dan telah merobek nama Malaysia iaitu "Permerdagangan Manusia", kata Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar sempena Kongres KeADILan kali keempat di Seremban.
Image"Kalau kita merujuk kepada definisi 'pemerdagangan' yang digunakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu iaitu dalam (Dengan izin) "Recommended Principles and Guidelines on Human Rights dan Human Trafficking, july 2002", pemerdagangan manusia merujuk kepada satu tema utama iaitu, paksaan" tegasnya.
Sementara definisi dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merangkumi terma tersebut di mana ia mengambil kira paksaan seseorang manusia walaupun diberi wang dan manfaat,katanya.
Pemerdagangan manusia tidak semestinya tertumpu kepada eksploitasi perempuan dan kanak- kanak yang dipaksa bekerja dalam industri seks tetapi juga merangkumi para pekerja, biasanya dari luar negara, yang dipaksa untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang tidak dipersetujui dalam kontrak mereka, katanya.
Permasalahan ini kian meruncing di dalam negara ini dan kita harus serius memikirkan bagaimana menanganinya, katanya.
KeADILan melahirkan kerisauan kerana dalam beberapa laporan antarabangsa Malaysia disenaraikan sebagai sebuah negara yang digunakan oleh pihak pemerdagangan manusia sebagai titik laluan ataupun 'transit point, katanya'.
Dalam hal ini di mana mangsa- mangsa dari Asia Tenggara dibawa masuk ke Malaysia, lalu dikirim ke negara- negara lain seperti ke Eropah, Australia dan Jepun, katanya.
Pihak yang terlibat bukan terdiri dari kumpulan kecil tetapi mempunyai jaringan antarabangsa dan berkait juga dengan jaringan mafia yang ganas, ujarnya.
Fenomena ini amat memalukan dan KeADILan menggesa kerajaan menganbil langkah- langkah wajar menanganinya, katanya.
Zaili Muhamad dan Wan Nordin