sejauh lebih 60 kilometer dan menyamar sebagai anggota Rela sebelum
menyamun 14 pekerja warga Vietnam di sebuah rumah kongsi di Kilometer
5, Jalan Tampin berhampiran Gemas, pagi kelmarin.
Bagaimanapun, enam lelaki terbabit berjaya ditahan dalam tempoh kurang
daripada 24 jam selepas kejadian dalam satu operasi diketuai Asisten
Superintendan Hairil Anwar Saidin bersama beberapa anggota.
Difahamkan, seorang daripada lelaki itu adalah anggota Rela manakala
lima lagi adalah rakannya. Semua mereka bekerja di sebuah syarikat kereta.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Zull Aznam Harun, berkata
dalam kejadian itu, anggota Rela terbabit yang berusia lingkungan
30-an itu menjadi dalang kepada kegiatan itu apabila dia bersama tiga
lelaki lain masuk ke dalam rumah kongsi warga asing berkenaan manakala
dua lagi menunggu di dalam kereta berasingan kira-kira jam 10 malam.
Katanya, semua suspek berusia 22 hingga 41 dan memakai pakaian Rela
meminta mangsa menunjukkan pas pekerja serta pasport untuk diperiksa.
"Semua suspek turut beraksi seolah-olah mereka memiliki senjata api di
pinggang bagi menggerunkan mangsa," katanya di sini, semalam.
Zull Aznam berkata, ketika itu, lelaki terbabit turut mengarahkan
warga asing terbabit mengeluarkan wang tunai dan telefon bimbit
masing-masing.
"Sebaik mengambil wang dan telefon bimbit, mereka bergegas keluar dari
rumah kongsi berkenaan dan masuk ke dalam kereta yang berada
berdekatan dengan tempat kejadian," katanya.
Katanya, semua suspek kemudian melarikan diri menghala ke bandar
Tampin dengan menggunakan dua kereta yang disyaki baru ditarik
daripada pembeli yang gagal melunaskan bayaran bulanan.
"Sebanyak RM4,000 serta dua telefon bimbit dirampas daripada 14
pekerja warga Vietnam terbabit," katanya.
Katanya, seorang daripada mangsa kemudian menghubungi majikan
memberitahu kejadian yang berlaku itu kira-kira jam 12.30 pagi.
"Majikan mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Gemas
kira-kira jam 10 pagi kelmarin," katanya.
Katanya, berdasarkan laporan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin
menubuhkan satu pasukan khas bagi memburu semua suspek.
"Hasil maklumat orang ramai, polis berjaya memberkas lima suspek di
kawasan Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka dan seorang lagi ditahan di
Gemas dalam tempoh kurang daripada 24 jam.
"Polis turut menemui dua telefon bimbit, dua kenderaan serta uniform
yang dipercayai digunakan dalam samun berkenaan.
"Semua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara
Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut," katanya.
Oleh Jaafar Mulup