19 Juni 2007
KUALA LUMPUR – Majikan perempuan yang dipercayai mendera seorang pembantu rumah warga Indonesia sehingga menyebabkan mangsa nekad melarikan diri dengan turun melalui tingkap rumah majikannya di tingkat 15 kondominium di Sentul Indah di sini, Sabtu lalu ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut.
Suspek akan menjalani tahanan reman hari ini setelah perintah di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dikeluarkan Majistret Norhayati Johar di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, di sini.
Majikan itu ditahan reman bagi membantu siasatan kes penderaan
mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan 324 kanun yang sama kerana
kerana mendatangkan kecederaan.
Wanita yang berusia 35 tahun itu dibawa keluar oleh dua anggota polis
wanita dari Balai Polis Wangsa Maju kira-kira pukul 9.55 pagi untuk ke
mahkamah dengan tangan kanannya digari.
Dia yang memakai pakaian lokap menutup muka menggunakan sapu tangan
berwarna putih bagi mengelakkan gambarnya dirakam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K. Kumaran berkata,
majikan itu ditahan kira-kira pukul 8 malam tadi sejurus dia memberi
keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Menurutnya, dia ditempatkan di Balai Polis Wangsa Maju sebelum dibawa
ke mahkamah pagi ini.
"Kami tahan dia (majikan) hanya untuk membantu siasatan dan bukannya
sebagai suspek.
"Biarkan kami melakukan siasatan, apa-apa perkembangan saya akan
maklumkan kepada media," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau meminta media supaya tidak mengambil kesempatan itu dengan
membuat spekulasi berhubung kes tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Samerin atau nama
sebenarnya, Ceriyati Daplin, 34, melarikan diri melalui tingkap rumah
majikannya di tingkat 15 kondominium dengan menggunakan kain dan
pakaian yang disambung- sambung termasuk baju, tuala mandi, selimut
dan seluar kerana tidak tahan didera sejak empat bulan lalu.
Bagaimanapun, mangsa yang hanya berjaya turun sehingga ke tingkat 12
kondominium itu diselamatkan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat
Sukarela Malaysia (MVFRA) yang kebetulan sedang mengadakan latihan
kebakaran di bangunan berhampiran.
Selepas diselamatkan, mangsa mendakwa dia didera majikannya, seorang
wanita Cina, sejak mula bekerja pada Februari lalu.
Kedua-dua mata dan muka mangsa lebam serta calar selain terdapat kesan
lebam di lehernya seperti dicekik dan dia juga dalam keadaan kurang
bermaya.
Oleh UMAVATHI RAMAYAH