Oleh NORLIZAH ABAS
KUALA LUMPUR 18 Jun – Percayakah anda bahawa Malaysia menjadi `tempat
lambakan' pembantu rumah berkualiti rendah atau dikategorikan sebagai
kelas `E' - kurang cerdik, tidak menarik, kurang cekap dan gagal
berkomunikasi dengan baik.
Sebaliknya, gadis-gadis pembantu rumah yang cantik, bertubuh menarik,
boleh berbahasa Inggeris serta membaca dan menulis, dihantar ke negara
yang menawarkan gaji lumayan seperti Hong Kong, Singapura, Taiwan dan
Timur Tengah.
Presiden Persatuan Agensi Pekerja Asing (PAPA), Datuk Raja Zulkepley
Dahalan mendakwa, pekerja-pekerja kelas E itulah yang banyak
menimbulkan masalah kepada majikan.
``Mereka inilah yang gagal menyesuaikan diri dengan persekitaran baru
dalam tempoh yang singkat sehingga memberi tekanan kepada majikan,''
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, walaupun mereka telah menjalani kursus di pusat
latihan di Indonesia selama sebulan diikuti aktiviti suai kenal
melibatkan latihan bertutur di sini selama beberapa hari, mereka masih
gagal memberikan khidmat terbaik.
``Majikan kerap menghadapi masalah kerana pembantu rumah yang
diperoleh gagal melaksanakan tugas dengan baik.
``Ekoran masalah komunikasi dan budaya yang berbeza, lain yang disuruh
lain yang dibuat selain mengulangi kesalahan serupa dan akhirnya
menimbulkan kemarahan majikan,'' ujar beliau.
Raja Zulkepley mengulas kejadian dera yang sering menimpa pembantu
rumah asing terutama dari Indonesia sehingga ada yang sanggup
membahayakan diri untuk melarikan diri.
Kejadian terbaru melibatkan seorang wanita Indonesia berusia dalam
lingkungan 30-an dikenali sebagai Samerin yang nekad melarikan diri
dari rumah majikannya sejak empat bulan lalu.
Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa bertindak turun melalui tingkap dari
tingkat 15 sebuah kondominium di Sentul menggunakan kain dan pakaian
yang disambung-sambung sebelum diselamatkan oleh Pasukan Bomba dan
Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA) yang kebetulan sedang mengadakan
latihan kebakaran di bangunan berhampiran.
Mengulas lanjut, Raja Zulkepley berkata, sehingga kini terdapat
sejumlah 320,000 orang pembantu rumah asing - 94.8 peratus daripadanya
terdiri daripada rakyat Indonesia, Filipina (6,100 orang) dan bakinya
10,000 orang dari negara-negara lain seperti Sri Lanka dan Kemboja.
Katanya, kira-kira 80 peratus daripada jumlah pembantu rumah Indonesia
diambil bekerja oleh majikan berbangsa Cina.
Ujar beliau, hampir kesemua pembantu rumah itu datang dari kawasan
yang terpisah dari arus pemodenan menyebabkan mereka menghadapi
kejutan budaya.
Katanya, majikan pula mungkin bersikap terlalu mementingkan
kesempurnaan atas alasan mereka telah membayar beribu-ribu ringgit
untuk mendapatkan pembantu rumah menggunakan saluran yang betul.
Sehubungan itu, Raja Zulkepley meminta majikan bertolak ansur dan
memberi masa kepada pembantu rumah masing-masing mengadaptasi diri
dengan persekitaran bagi mengelakkan mereka merasakan seolah-olah
`didera' sehingga gagal memberi tumpuan kepada tugas harian.