-->

Headlines

The Ecosoc News Monitor

22 July 2007

Respons Masyarakat Malaysia tentang pekerja migran tak berdokumen ..

Utusan Malaysia Online

Usah bermusim banteras pendatang tanpa izin

SURAT 1
RAKYAT Malaysia sudah naik muak apabila memperkatakan mengenai
pendatang haram kerana usaha yang dilakukan untuk membanteras golongan
itu ibarat melepas batuk di tangga atau hangat-hangat tahi ayam.

Kenapa tindakan menangkap pendatang haram menjadi `penguatkuasaan
bermusim'? Sikap tegas negara Arab Saudi yang tidak memberi muka
kepada jemaah yang menunaikan haji atau umrah walaupun tinggal
melebihi satu hari dengan tidak mempunyai visa atau pasport lawatan,
patut dicontohi. Kenapa kita tidak boleh?

Inilah suara hati rakyat Malaysia yang hidup dalam ketakutan selain
menjejaskan persaingan mencari pekerjaan serta 1001 masalah pendatang
haram yang semakin bermaharajalela. Bukannya saya antiwarga asing
untuk bekerja, berniaga atau melancong malah amat dialu-alukan tetapi
mereka perlu mematuhi undang-undang kita.

Kepada para pemimpin dan wakil rakyat tidak kira dari mana-mana parti,
sedarkah kebanjiran pendatang haram dapat dilihat di mana-mana celah
pelosok kawasan?

Mereka membuka perniagaan sesuka hati, mengemis di merata tempat
termasuk di pasar malam, mengganggu orang awam, melakukan aksi kurang
sopan dalam kenderaan awam, menggunakan khidmat hospital awam,
membuang sampah sesuka hati dan memenuhi kawasan setinggan.

Saya juga kecewa dengan sikap sebahagian kakitangan penguat kuasa
seperti polis, imigresen dan PBT yang tidak efisien dan tidak amanah
melaksanakan tugas memerangi pendatang haram.

Ini berdasarkan pengalaman selama empat tahun melihat gelagat pihak
berkuasa `menjalankan tugas' di kawasan Sungai Buloh, Paya Jaras, Kubu
Gajah dan Damansara.

Antara salah laku yang ketara ialah tidak menahan pendatang haram yang
melakukan kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen sah, tiada lesen
memandu dan tidak memakai topi keledar.

Polis mengeluarkan saman kepada kenderaan yang dipandu oleh rakyat
Malaysia yang melakukan kesalahan tetapi tidak kepada pendatang haram.

Kenapa tidak ditangkap mereka dan dihantar ke depot tahanan dan
kenderaan mereka dirampas?

Selain itu, ada operasi menangkap 20 hingga 30 wanita pendatang haram
tetapi ada di antara mereka dibebaskan setelah dikatakan disogok
dengan tawaran wang dan seks.

Ada beberapa lagi salah laku melibatkan rasuah di kalangan agensi
penguat kuasa seperti wang perlindungan, tidak bertindak ke atas
penjaja pendatang haram berbanding peniaga tempatan dan membocorkan
maklumat kepada tauke-tauke kilang jika ada operasi.

Saya menyeru kerajaan membekukan terus pemberian kad pengenalan merah
(berstatus penduduk tetap) kepada pendatang.

Apa pun, gelagat pihak berkuasa perlu dipantau oleh masyarakat dengan
cara hubungan rapat dengan kerajaan, wakil rakyat atau Badan Pencegah
Rasuah (BPR) seperti menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS) dan telefon.

Saya juga mencadangkan kuasa diberikan kepada orang awam menangkap
pendatang haram.

Rela juga perlu bekerja setiap minggu dengan lebih kerap mengadakan
operasi serta peruntukan tambahan perlu diluluskan untuk tujuan ini.
Cara operasi dengan melapor kepada balai polis berhampiran perlu
dikaji kerana ada di antara anggota polis menjadi mata, telinga dan
tali barut pendatang haram.

– NORJIMI,

Sungai Buloh,

Selangor.

SURAT 2
SAYA merujuk kepada cadangan seorang ahli Parlimen di Dewan Rakyat
baru-baru ini supaya menghalalkan pendatang haram tanpa izin (PATI)
dengan memberikan mereka status penduduk tetap (PR).

Cadangan ini diberikan kerana kewujudan mereka sentiasa bertambah dan
mereka dikatakan penyumbang kepada ekonomi negara dengan bekerja dalam
jangka masa yang lama di negara ini.

Saya amat tidak bersetuju dengan cadangan tersebut semata-mata kerana
kerajaan sudah pening kepala tidak dapat menyelesaikan masalah
kebanjiran PATI ini.

Di sini, saya ingin menceritakan pengalaman bergaul dengan PR dan
pendatang haram ini. Semasa menonton perlawanan bola sepak di antara
Malaysia dengan negara jiran, sahabat saya yang berstatus PR dan sudah
menetap lapan tahun di Malaysia bermati-matian menyokong negaranya
sehingga mencaci-caci Malaysia dengan kata-kata kesat.

Jadi di manakah jati diri mereka? Begitu juga dengan peniaga-peniaga
jalanan yang berniaga sesuka hati tanpa lesen, bila penguat kuasa DBKL
melakukan rondaan, mereka cepat-cepat menyorokkan barangan jualan
mereka dan apabila penguat kuasa beredar, mereka memaki hamun dan
mendabik dada bahawa tiada siapa yang mampu menangkap mereka. Patutkah
mereka ini diberikan PR?

Mereka juga berpuak-puak dan sekiranya mereka berniaga di satu tempat,
dalam masa beberapa tahun tempat itu akan dijadikan tempat dipenuhi
oleh kaum-kaum mereka.

Tidak ada peluang lagi rakyat tempatan berniaga di situ. Kebanyakan
anak mereka pula tidak bersekolah dan anak-anak inilah bakal menjadi
penyumbang kepada jenayah di Malaysia.

Namanya pun sudah pendatang haram atau pendatang asing tanpa izin,
kemasukan mereka tidak mengikut undang-undang, jadi tidak hairanlah
mereka tidak ikut langsung undang-undang di Malaysia.

Saya sebagai rakyat Malaysia yang sentiasa mengikut undang-undang dan
menyumbang kepada ekonomi negara, tetapi sentiasa menghadapi kesulitan
dalam meningkatkan ekonomi diri dan keluarga. Kenapa kera di hutan
disusukan anak di rumah mati kelaparan?