-->

Headlines

The Ecosoc News Monitor

04 July 2007

Syarikat Perladangan Guna Khidmat Gengster Untuk Rampas Tanah Di Sabah

Bernama
4 Juli 2007

KUALA LUMPUR, 4 Julai -- Sebilangan syarikat yang tidak bertanggungjawab didakwa menggunakan kekerasan dan dokumen palsu untuk merampas ribuan hektar tanah milik penduduk tempatan di Sabah.

Syarikat-syarikat perladangan ini dikatakan mengupah gengster dari kalangan pendatang tanpa izin Indonesia untuk menyemai rasa takut di kalangan pemilik tanah jika mereka menentang kegiatan mereka.

Bernama difahamkan bahawa kegiatan penyelewengan seperti itu berlaku sejak 15 tahun lepas khususnya di Lahad Datu, Sandakan dan Kinabatangan.

Kekerasan biasa digunakan untuk merampas bidang tanah dari pemilik sah manakala dalam beberapa kes lain, dokumen palsu digunakan untuk memindah hak milik tanah.

Mangsa-mangsa mendakwa kegiatan ini berterusan walaupun ratusan laporan polis dibuat terhadap penjenayah-penjenayah ini dengan beberapa daripada mereka didakwa memiliki syarikat senarai awam.

Salah seorang mangsa, yang hanya mahu dikenali dengan singkatan ejaan namanya HKF, merupakan pemilik ladang kelapa sawit seluas 250 hektar di Sandakan.

Minggu lepas, beliau telah menemui Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Musa Hassan di Bukit Aman di sini untuk mendedahkan gejala itu kepada "pihak berkuasa atasan" selepas beliau mendakwa tindakan minima di peringkat tempatan di sana.

Apabila Bernama menghubungi Musa, beliau berjanji untuk menyiasat sendiri dakwaan itu.

"Saya memandang serius perkara ini sejak ini merupakan negeri ketiga di mana taktik gengster digunakan untuk kepentingan diri. Saya mahu langkah pro-aktif diambil bagi memerangi masalah ini dan kami akan menyiasat secara menyeluruh dakwaan itu.

Sejak 2005, HKF mendakwa beliau menjadi bingung dengan tekanan sebuah syarikat tersebut yang dikatakan telah merampas ladangnya.

Walaupun membayar ansuran bulanan RM48,000 untuk ladangnya sejak dua tahun lepas, HKF mendakwa kira-kira 500 pendatang tanpa izin Indonesia diupah oleh seorang ahli perniagaan berpengaruh untuk menghalang beliau memasuki kawasan tanah miliknya.

"Bagi menjadikan keadaan lebih buruk, jalan-jalan menuju ke ladang saya dialih ke tempat lain. Sebuah pagar besi dipasang untuk menghalang saya memasuki kawasan tanah," katanya.

HKF berkata samseng-samseng juga pernah mengugut akan "tanamnya hidup-hidup" jika beliau cuba memasuki ladangnya.

Beliau mendakwa telah membuat laporan polis terhadap syarikat itu sejak dua tahun lepas tetapi telah dinasihatkan supaya jangan mencari pasal dengan kumpulan samseng itu kerana mereka telah diupah oleh sebuah "syarikat berpengaruh".

Minggu lepas, HKF telah mengunjungi Suruhanjaya Sekuriti di Kuala Lumpur untuk membuat aduan terhadap syarikat berkenaan tetapi seorang pegawai menasihatkannya supaya merujuk perkara itu kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana kumpulan itu mempunyai 7.6 peratus saham dalam syarikat perladangan tersebut.

"Saya membuat aduan dengan KWSP dan pihak berkuasa telah berjanji untuk menyiasat perkara itu," katanya.

Susulan itu, HKF bertemu Musa dan beliau dinasihatkan supaya mengemukakan aduan rasmi kepada Lembaga Tataterbit Bukit Aman bagi menyiasat dakwaan ketiadaan tindakan polis di Sandakan.

-- BERNAMA


Oleh B.Hariharasuthan dan Gerald Raja