4 Juli 2007
KUALA LUMPUR 4 Julai – Jika selama ini kes-kes penganiayaan pembantu rumah warga Indonesia melibatkan majikan Malaysia tetapi lain pula dialami seorang mangsa yang mendakwa dianiaya pegawai kedutaan republik itu sendiri.
Kejadian ‘harapkan pagar, pagar makan padi’ ini berlaku ke atas Parida, 28, yang berasal dari Desa Mojosing, Kecamatan Kepil, Kabupaten Wonosobo, Jawa Tengah dari 2005 hingga April lalu.
Pengarah Indonesian Sociology Research, Khairudin Harahap memberitahu Utusan Malaysia di sini hari ini beliau kesal atas kejadian yang disifatkannya sebagai sangat memalukan itu.
Mangsa mendakwa, dalam tempoh itu dia dijadikan pembantu rumah dengan keringatnya diperah sesuka hati tanpa dibayar gaji oleh dua pegawai Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur.
Paling menyedihkan, dia mendakwa tidak dibayar gaji untuk tempoh tujuh bulan melibatkan RM2,800 oleh seorang pegawai kanan KBRI bertugas di bahagian yang bertanggungjawab ke atas Tenaga Kerja Indonesia (TKI) di Malaysia.
Mangsa mula bekerja di rumah pegawai tersebut di Ampang sejak 8 Januari 2006 iaitu tidak lama selepas ‘ditipu’ seorang pegawai KBRI yang sebelum itu langsung tidak membayar gajinya setelah mengerah keringat selama enam bulan.
Parida mendakwa segala penganiayaan ke atas dirinya itu ketika membuat aduan kepada organisasi bebas mengkaji permasalahan rakyat Indonesia di Malaysia, Indonesian Sociology Research Sdn. Bhd. di sini, pukul 10.30 pagi ini.
Sementara itu, Setiausaha Pertama Penerangan dan Perhubungan Awam KBRI, Eka A. Suripto ketika dihubungi menegaskan, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kes tersebut.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya pihak kedutaan menerima laporan rasmi daripada wanita berkenaan.
Menurutnya, ekoran sikap tidak bertanggungjawab kedua-dua pegawai KBRI itu, Parida kini terpaksa bersembunyi daripada pihak berkuasa Malaysia berikutan visa bekerja yang sudah tamat tempoh sejak memasuki negara ini pada tahun 2005.
Jelas beliau, Parida diserahkan kepada KBRI pada 2005 oleh seorang majikan warga Malaysia yang tidak selesa menggunakan khidmat pembantu rumah itu selepas enam bulan menggajikan wanita tersebut secara sah.
‘‘Ketika di KBRI untuk proses penghantaran pulang, Parida diambil seorang pegawai kedutaan bekerja dengannya sebagai pembantu rumah tetapi tidak dibayar gaji selama enam bulan menyebabkannya lari semula ke kedutaan dan berkeras mahu pulang ke Indonesia.
‘‘Malangnya, Parida berdepan situasi sama apabila pada 8 Januari 2006 seorang pegawai lebih kanan di KBRI mengambilnya sebagai pembantu rumah tetapi tidak juga dibayar gaji selama 6 bulan menyebabkannya lari April lalu,’’ katanya.
Menurut Khairudin, kejadian itu sangat memalukan kerana selama ini pemerintah dan rakyat Indonesia begitu prejudis dan memarahi majikan-majikan di Malaysia kerana beberapa kes penganiayaan terhadap pembantu rumah.
‘‘Kini lain pula berlaku, pegawai kedutaan sendiri tindas TKI di Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak supaya pemerintah Indonesia mengambil tindakan tegas ke atas kedua-dua pegawai KBRI itu jika mereka terbukti bersalah.
Dalam pada itu, kata Khairudin, beliau tidak mengetahui di mana lokasi sebenar Parida sekarang tetapi diberitahu dia sedang bersembunyi dengan rakan-rakannya di sebuah daerah di Selangor.
“Pihak kami akan cuba bantu Parida setakat mana yang boleh dan dibenarkan oleh undang-undang termasuk menunaikan hasratnya untuk pulang ke tanah air secara sah,” katanya.
Oleh RAMLI ABDUL KARIM