KOTA TINGGI 24 Jun - Sebuah bot membawa 14 pendatang asing dari Indonesia dilaporkan karam di perairan Tanjung Sepang, Sungai Rengit pagi Ahad lalu akibat dipukul ribut ketika cuba memasuki perairan negara ini dari Batam.
Utusan Malaysia difahamkan dalam kejadian pukul 6 pagi itu, dua orang pendatang asing berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai, manakala selebihnya dikhuatiri lemas.
Setakat pukul 6 petang ini, lima mayat ditemui termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita di perairan Malaysia.
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Che Hassan Jusoh ketika dihubungi berkata, mayat pertama iaitu seorang wanita ditemui seorang nelayan 10 pagi ini, iaitu kira-kira lapan kilometer dari pantai Tanjung Penawar, Desaru di sini.
Menurut beliau, mayat empat lagi mangsa termasuk dua kanak-kanak ditemui pada pukul 4.30 petang di perairan Punggai, Sungai Rengit, iaitu beberapa kilometer dari lokasi mayat pertama ditemui.
Gerakan mencari tujuh lagi pendatang asing diteruskan oleh APMM, Polis Cawangan Marin dan Jabatan Pertahanan Awam. - Utusan