-->

Headlines

The Ecosoc News Monitor

28 March 2008

Selangor mahu caj pekerja asing RM9 sebulan

Berita Harian, 28/3/2008

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bercadang mengenakan caj sebanyak RM9 sebulan atau RM100 setahun terhadap kira-kira 1.5 sejuta pekerja asing yang bekerja dalam pelbagai sektor bagi menyelesaikan masalah belia tempatan menganggur di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata wang yang dikutip daripada majikan pekerja asing itu akan digunakan sebagai dana untuk melatih belia tempatan dalam bidang kemahiran tertentu.

Beliau berkata, faktor utama belia tempatan di negeri itu terpaksa menganggur kerana banyak peluang kerja dibolot rakyat asing yang sanggup bekerja walaupun ditawarkan gaji rendah.

“Faktor pengangguran di Selangor kerana ada ramai pekerja asing yang bersaing dengan belia tempatan untuk mendapatkan pekerjaan. Penawaran buruh yang terlalu ramai ini menyebabkan gaji yang ditawarkan pun rendah.

“Kita akan cadangkan kepada kerajaan Pusat untuk memberi kuasa kepada Selangor mengetahui perkembangan buruh asing di negeri ini supaya kita boleh kenakan syarat terhadap majikan membayar RM9 sebulan atau RM100 setahun bagi setiap pekerja asing.

“Wang yang dikutip ini kita akan gunakan sebagai dana untuk melatih belia tempatan dalam bidang kemahiran tertentu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan pertamanya di sini, semalam.

Beliau berkata, syarat baru yang akan dilaksanakan itu mungkin menimbulkan tanggapan buruk badan bukan kerajaan (NGO) yang mungkin menuduh Selangor memeras pekerja asing.

Abdul Khalid berkata, belia tempatan sepatutnya diberi kemahiran dan keupayaan dalam bidang tertentu supaya golongan itu dapat memberi sumbangan positif kepada pembangunan ekonomi di Selangor.

“Selama ini banyak wang yang dikutip di Selangor disalah guna kerajaan Pusat. Kita akan guna caj yang dikutip ini untuk buat sesuatu yang baik kepada rakyat di Selangor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid, mendakwa kerajaan Pusat gagal menguruskan dengan baik Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan meminta Pusat menyerahkan PKFZ kepada kerajaan negeri.

Beliau mendakwa, sejumlah RM4.6 bilion yang dilaburkan Pusat untuk membangunkan PKFZ adalah tidak munasabah kerana kawasan industri itu sehingga kini gagal menarik pelabur asing dan gagal berfungsi sepenuhnya.

"Kerajaan negeri ada keupayaan dan kapasiti untuk ambil alih PKFZ dan kita ada banyak idea untuk menambah baik PKFZ," katanya sambil menambah, pengalaman sebagai bekas Pengerusi Kontena Nasional Berhad akan digunakan untuk membangunkan PKFZ.

Beliau mendakwa, syarikat P&O yang berpangkalan di Australia dan dimiliki pihak berkuasa Pelabuhan Dubai berminat untuk mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan PKFZ.

Kos bagi projek pembangunan (PKFZ) di Pulau Indah meningkat kepada RM4.632 bilion selepas Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) memutuskan untuk memajukannya serentak bagi keseluruhan kira-kira 400 hektar kawasan itu.

Pada mulanya PKFZ dicadangkan untuk dilaksanakan dalam dua fasa membabitkan sebahagian tanah seluas kira-kira 200 hektar dengan kos pembangunan dianggarkan sebanyak RM400 juta.

Bagaimanapun, atas nasihat Jebel Ali Free Trade Zone (Jafza) yang ketika itu bertindak sebagai pengurus zon bebas berkenaan, LPK membangunkannya secara serentak membabitkan keseluruhan 400 hektar kawasan dengan kos RM1.845 bilion.

Selepas mengambil kira kos pembelian tanah, kos pembangunan bersama dengan kos faedah 7.5 peratus, yuran profesional 10 peratus dan kos-kos lain yang hanya dihadkan kepada 20 peratus jika digunakan, jumlah kos keseluruhan PKFZ dianggarkan berjumlah RM4.632 bilion.