-->

Headlines

The Ecosoc News Monitor

05 August 2008

Ops Bersepadu usir PATI di Sabah

Utusan Online, 5/8/2008

Oleh JAMDI NASIR

KOTA KINABALU 4 Ogos - Kerajaan negeri akan melancarkan Ops Bersepadu menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) secara besar-besaran di Sabah pada bila-bila masa mulai sekarang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, tumpuan operasi pada peringkat awal akan dilakukan di kawasan pantai barat Sabah.

''Mereka yang ditangkap akan ditempatkan sementara di Kem Paradise, Kota Belud,'' katanya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Wisma Innoprise, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Ismail Wadin dan pelbagai agensi berkaitan.

Katan Musa, melalui Ops Bersepadu itu, PATI yang ditangkap tidak akan didakwa dan dibicarakan seperti biasa, sebaliknya mereka akan terus dihantar pulang selepas mendapat pengesahan dari negara asal masing-masing.

''Semua agensi penguat kuasa telah bersiap sedia daripada segi kelengkapan dan jumlah anggota untuk melaksana operasi ini.

''Saya juga dimaklumkan kerajaan Filipina dan Indonesia telah memberi persetujuan untuk bekerjasama membantu proses penerimaan semula rakyat mereka," katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik mengetuai Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai PATI bagi mengusir keluar secara besar-besaran pendatang asing di Sabah.

Jawatankuasa itu diwujudkan selepas masalah PATI itu dibangkitkan oleh pelbagai pihak kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama tanpa sebarang tindakan berkesan.

Musa berkata, serentak dengan operasi tersebut, Jabatan Imigresen juga akan melaksanakan program pemutihan khas bagi membolehkan para majikan mendaftar pekerja asing mereka yang tidak mempunyai permit kerja.

Menurut beliau, tindakan itu adalah bagi memastikan sektor perladangan, pembinaan dan lain- lain tidak berhadapan dengan masalah kekurangan sumber tenaga jika operasi menghantar pulang PATI dilaksanakan kelak.

''Kita sejak awal lagi menasihatkan para majikan supaya segera mendaftar pekerja mereka secara sah dan kini Jabatan Imigresen akan turun padang membuat pendaftaran bagi mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tanpa perlu pekerja tersebut pulang ke negara asal.

''Majikan juga diminta menghantar senarai nama kepada Jabatan Imigresen untuk pendaftaran dan jika dalam Operasi Bersepadu terdapat pekerja asing yang ditangkap, mereka masih boleh menuntut pekerja tersebut dengan membawa bukti," jelas beliau.

Ketua Menteri berkata, dalam operasi tersebut, pihak berkuasa tidak akan menahan mereka yang mempunyai pengenalan diri IMM13 iaitu pelarian Filipina yang diberi perlindungan semasa pergolakan di negara itu sekitar awal tahun 1970-an.

Menurut beliau, kes golongan tersebut akan diselesaikan kemudian kerana tumpuan pada masa ini ialah bagi mengatasi sepenuhnya masalah PATI yang begitu banyak dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

''Serentak itu juga, orang ramai dinasihatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri sepanjang masa supaya tidak tertangkap, saya juga menyeru rakyat supaya bersabar dan memberi kerjasama kerana operasi ini pasti akan mengganggu aktiviti harian mereka.

''Bagi memudahkan orang ramai mengenali anggota pihak berkuasa, mereka ini akan berpakaian seragam dan bergerak secara berkumpulan, kita juga meminta orang ramai berhati-hati sekiranya didatangi orang persendirian yang cuba mengambil kesempatan,'' katanya.

Beliau turut memberi jaminan pihak berkuasa tidak akan sesekali menggunakan kekerasan, malah bersedia memenuhi keperluan minimum kepada pihak-pihak yang mewakili hak asasi manusia.